KAMARZAMAN HJ HARUN

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera, salam 1 Malaysia.

Terlebih dahulu saya bagi pihak Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada jentera penganjuran Sukan Orang Pekak Malaysia ke 18 , 2014 Melaka (SOPMA XVIII 2014 Melaka ) kerana telah berkerja keras mengorbankan masa, tenaga dan kerahan keringit masing-masing demi memastikan kejayaan penganjuran sukan berprestasi tinggibagi warga pekak malaysia ini.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) kerana sentiasa berdiri teguh dibelakang kami bagi memberi sokongan dan bantuan.

Tidak lupa juga diucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih  seikhlasnya kepada Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Y.A.B. Datuk Seri Hj. Ir Idris Hj. Haron yang telah memberi lampu hijau bagi penganjuran SOPMA XVIII 2014 diadakan di bumi melaka buat pertama kalinya.

Sopma adalah temasya sukan dwi-tahunan bagi warga pekak malaysia dan telah bermula sejak tahun 1985 dan sukan ini telah diadakan secara bergilir-gilir oleh setiap negeri. SOPMA sentiasa memberi cabaran dan pengalaman baru dari segi persiapan penganjurannya, jumlah penyertaan atlet dan bantuan pihak kerajaan serta lain-lain pihak berkaitan.

Secara jujurnya diakui bahawa SOPMA tidak sepopular dan gah seperti SUKMA, sukan paralimpaid dan lain-lain jenis sukan tapi temasya sukan utama warga pekak ini masih terus wujud kerana adanya sokongan kuat warga pekak sendiri yang dahagakan kegiatan kesukanan disamping itu pihak kerajaan sentiasa memberi sokongan, bantuan dan galakan.

Faktor yang paling kuat kenapa sopma harus wujud ialah kerana adanya sukan peringkat antarabangsa bagi warga pekak iaitu Deaflympics Games dan Asia-Pacific Deaf Games yang menjadi hala tuju dan matlamat utama kearah menganjuran SOPMA dan pemilihan atlet pekak terbaik ke peringkat antarabangsa.

Semua pihak akan bersetuju dengan kami bahawa penganjuran multi sukan seperti SOPMA ini yang melibatkan banyak acara dan penyertaan yang besar atlet-atlet pekak dan pegawai dari seluruh negeri lebih-lebih lagi penganjurannya di peringkat kebangsaan memerlukan kos yang amat tinggi serta turut melibatkan agensi-agensi kerajaan dan persatuan sukan jenis sukan serta memerlukan ramai tenaga sukarelawan. Oleh kerana itu bantuan pihak-pihak berkenaan dengan sokongan padu dari syarikat-syarikat korporat amat ditagih dan diharapkan bagi membolehkan penganjuran sukan ini berjalan dengan lebih cekap, lancar, teratur dan yang paling penting sekali memenuhi piawaian penganjurannya.

Akhirkata, MSDeaf yang memegang mandat, tanggungjawab dan harapan warga pekak negara memohon dan merayu kepada segenap lapisan masyarakat malaysia supaya tampil kehadapan membantu dengan segenap tenaga,masa, idea, buah fikiran dan keringgit masing-masing supaya kita dapat menunjukkan perasaan kasih sayang sesama insan, semangat bantu-membantu dan sekali gus dapat memenuhi tanggungjawab kita kepada masyarakat, agama dan negara. Insya`allah.

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.
Sekian dan terima kasih.

(KAMARZAMAN BIN HAJI HARUN)
Presiden
Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia