ONG SHIN RUENN

Salam perpaduan 1Malaysia.

Dikesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak pengelola SOPMA XVIII 2014 iaitu persatuan sukan orang pekak malaysia (MSDeaf) kerana telah memberi amanah, kepercayaan dan tanggungjawab kepada kami bagi persiapan pengelolaan sukan berprestij bagi warga pekak malaysia ini.

Saya amat berbangga kerana telah terlibat secara langsung bagi menganjurkan sukan ini yang telah benar-benar mencabar tahap keupayaan kami bagi mengejar masa yang ada menuju tarikh penganjuran sukan ini.

Perlu diketahui oleh semua bahawa masa yang tinggal sehingga SOPMA XVIII 2014 membuka tirainya pada 13 jun 2014 depan adalah masa yang paling berharga bagi kami dan ini benar-benar mencabar minda dan kudrat yang terhad kami kerana pasukan kami adalah rata-ratanya golongan oku pendengaran ( warga pekak ) disamping bantuan 2 petugas bukan pekak .

Cabaran utama bagi penganjuran ini adalah mencari dana yang mencukupi dan releven bagi menganjur sebuah sukan peringkat nasional adalah adalah ujian yang sebenar bagi kami. Maka kami berharap semua pihak akan tampil kehadapan menyokong kami lebih-lebih lagi kepada syarikat korporat dan syarikat swasta yang tidak dinafikan akan menjadi nadi utama kepada kejayaan penganjuran sukan ini.

Harapan yang sangat tinggi disandarkan kebahu kami bagi menjadikan penganjuran SOPMA XVIII 2014 melaka antara yang terbaik adalah misi utama kami agar semua pihak boleh berbangga sekali gus memenuhi harapan dan hasrat kerajaan serta semua pihak yang terlibat.

Oleh kerana itu marilah kita semua berganding bahu dan merapatkan barisan serta menyinsing lengan baju bersama-sama membantu satu lagi sukan OKU yang mempersembahkan kelainan dari lain-lain sukan negara yang ada iaitu dari sudut teknikal permainan walaupun dari segi matlamat dan tujuan adalah sama iaitu memperagakan aksi sukan bagi faedah sukan tanah air kita yang tercinta ini.

`bersatu teguh, bercerai roboh`
`mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih`

Sekian dan terima kasih.

(ONG SHIN RUENN)
Ketua Pengawai Ekskutif SOPMA XVIII 2014 Melaka