|
Bismillahirrahmanirrahim. Terlebih dahulu setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada pihak pengajur kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam buku program ini. Saya terharu dan berbesar hati kerana negeri Melaka telah dipilih sebagai tuan rumah penganjuran satu lagi sukan OKU peringkat kebangsaan iaitu Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) kali ke 18 atau dikenali sebagai SOPMA XVIII 2014. Memang menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat pelbagai program dan aktiviti peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa diadakan di bumi Melaka. Justeru itu, kerajaan sentiasa komited menyokong dan amat mengalu-alukan kehadiran mana-mana pihak yang mempunyai hasrat tersebut. Bertepatan dengan tema ‘Melaka Maju Negeriku Sayang Fasa II’ kerajaan Melaka mengalu-alukan SOPMA XVIII 2014 diadakan di Melaka yang sedikit sebanyak negeri Melaka dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada pembangunan insan golongan istimewa lebih-lebih lagi penganjuran program berbentuk kesukanan. Saya dimaklumkan bahawa SOPMA XVIII 2014 ini yang akan menawarkan 7 jenis acara sukan akan disertai oleh atlet-atlet pekak dari seluruh negara termasuk atlet-atlet dari negara jiran kita Singapura dan Brunei Darussalam. Semoga program sukan yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) ini akan dapat memupuk kesedaran dan tanggungjawab dikalangan masyarakat awam terutamanya syarikat-syarikat swasta supaya tampil membantu dari segi bentuk sokongan penajaan kerana penganjuran program berbentuk kesukanan lebih-lebih lagi penganjuran di peringkat kebangsaan memerlukan perbelanjaan tinggi. Saya berharap dan berdoa semoga SOPMA XVIII 2014 yang pertama kalinya diadakan di bumi Melaka akan berjaya dianjurkan dengan cemerlang dan sekaligus mencapai matlamatnya. Selamat Maju Jaya. "MELAWAT MELAKA BERSEJARAH BERERTI MELAWAT MALAYSIA" Wassalam, (Y.A.B DATUK SERI IR HJ IDRIS BIN HJ HARON) |