YB ENCIK KHAIRY JAMALUDDIN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan
Salam 1Malaysia.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Persatuan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menitipkan kata aluan sempena penganjuran temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA XVIII) 2014 Melaka.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa menyokong usaha dan inisiatif yang diambil oleh mana-mana pihak terutamanya untuk memartabatkan sukan negara. KBS amat menghargai kerjasama dan peranan persatuan sukan bagi menjalankan program-program berkaitan termasuk menganjurkan termasya sukan yang melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU).

Saya difahamkan, temasya sukan SOPMA XVIII ini adalah julung kali diadakan di Melaka
dengan penglibatan atlet-atlet orang pekak dari seluruh negara serta penglibatan kontigen jemputan dari negara jiran iaitu Singapura dan Brunei. Syabas dan tahniah saya ucapkan
kepada MSDeaf dan Kerajaan Negeri Melaka di atas usaha dan kerjasama yang diberikan bagi penganjuran SOPMA XVIII.

Akhir kata, saya mengucapkan selamat datang kepada seluruh atlet dan pegawai yang
menyertai temasya SOPMA XVIII di Melaka. Semoga temasya ini akan berlangsung dengan semangat sukan yang tinggi dan mencapai matlamat yang diharapkan oleh semua pihak.

Sekian terima kasih.

(YB ENCIK KHAIRY JAMALUDDIN)
Menteri Belia dan Sukan Malaysia